Panel Penasihat NADI ditubuhkan bagi melancarkan operasi NADI Taman Cengal Emas. Panel penasihat NADI ini adalah wakil kepada petugas untuk berhubung terus dengan komuniti setempat. Dengan wujudnya panel penasihat ini, ia memudahkan tugas petugas semasa berunding bersama komuniti setempat. Selain itu juga, panel penasihat ini merupakan pasukan penggerak bagi NADI Taman Cengal Emas.

Parit Panjang ialah sebuah pekan kecil di dalam Mukim Teloi Kanan daerah Baling. Ia berada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, seterusnya berada di Parlimen Baling. Pekan kecil ini terletak di pertemuan empat buah jalan utama iaitu dari Kuala Ketil, Sungai Petani, arah Alor Setar/Sik dan Baling/Grik. 

Kampung-kampung yang berada di sekitar pekan Parit Panjang ialah  Kg Bukit Endoi, Kg Carok Bakap, Kg Baru Carok Bakap, Kg Tandop Pisang, Kg Banggol Berangan, Kg Seri Kelantan, Kg Sungai Tembak A dan Kampung Lanai.

Terdapat sebuah parit yang telah dibina di penempatan ini. Pada waktu tersebut, parit atau sungai digunakan sebagai medium utama pengangkutan dan perhubungan. Parit Panjang ialah sebuah penempatan yang dibina sejak awal abad ke-20 iaitu sekitar awal tahun 1900-an.

Penduduk asal yang mendiami ialah campuran penduduk asal Kedah dan pendatang dari wilayah Yala, Thailand. Kini, penduduk sekitar yang tinggal di Parit Panjang adalah dari seluruh pelusuk negeri Kedah. 

NADI Taman Cengal Emas merupakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional yang baru diwujudkan pada penghujung tahun 2021. Ia terletak di Taman Cengal Emas, Parit Panjang, Baling, Kedah. Lokasi bangunan adalah berhadapan dengan Masjid Parit Panjang dan sebelah Petronas Parit Panjang.

Fokus utama NADI tertumpu kepada usaha memberi penekanan kepada penjanaan pendapatan serta membantu ekonomi komuniti setempat melalui e-dagang dengan kerjasama strategik bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta. Justeru itu, penekanan transformasi digital menjadi agenda utama di NADI supaya masyarakat di luar bandar dan kawasan miskin bandar boleh memperkasakan diri kepada kegiatan ekonomi serta menambah pendapatan mereka melalui aktiviti ekonomi digital.